KANGAR 22 Ogos 2008 - Personaliti terkenal TV3, Nor Azlina Redzuan selamat diijab kabul pada majlis akad nikah yang diadakan di rumah ibu bapanya di Jalan Bintong, di sini malam ini.
Nor Azlina, 37, yang juga pembaca berita Buletin Utama di stesen televisyen swasta itu sah menjadi isteri kepada Ketua Pegawai Kewangan TM International, Datuk Yusof Annuar Yaacob, 43, yang hanya sekali melafazkan akad nikah.
Pasangan itu diijab kabul oleh bapa personaliti itu sendiri, Datuk Redzuan Sheikh Ahmad disaksikan oleh Imam Masjid Al-Ariffin, Padang Katong, Ku Mahamad Ku Hamid selepas solat Isyak kira-kira pukul 9.30 malam ini.
Nor Azlina yang anggun berbusana berwarna putih susu, berwalikan bapanya, Redzuan yang merupakan Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).Turut menyaksikan majlis akad nikah pasangan itu ialah bekas Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad yang juga bapa saudara kepada personaliti itu.
Majlis akad nikah berlangsung sederhana dan dihadiri kira-kira 200 tetamu terdiri daripada saudara mara, jiran dan rakan terdekat keluarga pasangan itu termasuk ibu Yusof, Rokiah Abdul Rahman, 69.
Bapa Yusof, Yaacob Abdul Rahman, 70, tidak hadir dan difahamkan berada di kampungnya di Batu Pahat, Johor, kerana kurang sihat.
Beberapa personaliti TV3 turut hadir antaranya pembaca berita, Kamaruddin Mape, Azizah Ariffin dan Maria Tengku Sabri.
Nor Azlina menerima mas kahwin sebanyak RM30,000 serta sebentuk cincin berlian berharga RM85,000 serta sembilan dulang hantaran.
Pihak perempuan pula membalas dengan 11 dulang hantaran.Personaliti kecil molek itu yang merupakan anak sulung daripada tiga beradik, mula berkenalan dengan Yusof enam tahun lalu.
Yusof yang menduda sejak 14 tahun lalu, juga anak sulung daripada tiga beradik.Nor Azlina sebelum ini berkata, walaupun sudah berkenalan selama enam tahun, mereka hanya bersetuju untuk mendirikan rumah tangga tahun lalu.
Bagaimanapun, personaliti itu tidak mahu menghebahkan majlis pernikahannya kerana menghormati permintaan bakal suaminya itu.
Nor Azlina dan Yusof akan diraikan dalam majlis persandingan di Dewan Warisan di sini esok dan di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur pada 29 Ogos ini.
Yusof merupakan seorang akauntan dan terlibat dalam industri perbankan dan pengurusan korporat selain memiliki pengalaman luas dalam bidang telekomunikasi.
Selain memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Kewangan, Yusof juga adalah Pengarah Eksekutif TM International Berhad selain menduduki kerusi lembaga pengarah beberapa anak syarikat Kumpulan TM.
sumber : utusan malaysia
No comments:
Post a Comment